MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

Petani dari Kenya juara maraton Jambatan Pulau Pinang

Pelumba Kenya sekali lagi menguasai Asics Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2014 apabila menyapu bersih tiga tangga teratas dalam kategori maraton penuh lelaki dan wanita terbuka sejauh 42.195km.

Alex Melly muncul juara kategori lelaki dengan catatan masa dua jam 19 minit diikuti Hosea (2'21:24.2s) serta Joseph Kiio Mutinda (2'21:28.4s), masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Melly, 27, seorang petani sepenuh masa dari Eldoret, berkata beliau berlari dua jam sehari meliputi jarak 30km selama tiga bulan sebagai persediaan untuk kejohanan itu.

"Ini penyertaan keempat saya dalam kejohanan ini sejak 2009 sebab saya tidak mengambil bahagian pada 2012 dan 2013. Ia pencapaian terbaik saya, hadiah wang tunai RM20,000 bernilai lebih 400,000 shilling Kenya. Saya amat berterima kasih kepada penganjur," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Bagi kategori wanita, Frida Jepkite Lodepa, 32, yang menyertai acara itu buat pertama kali, muncul juara selepas menyudahkan larian dalam masa tiga jam empat minit mengatasi Jane Rotich (3'05:20.5s) di tempat kedua dan Viola Jepchirchir Kimeli (3'08:25.8s), ketiga.

Sementara itu, pelari dari Sabah Fabian Osmond Daimon memenangi kategori maraton penuh lelaki Malaysia dengan catatan masa dua jam 47 minit 3.4 saat meninggalkan Shaharudin Hashim (2'47:37.7s) dan Muhaizar Mohamad (2'47:38s) yang mengekori rapat sejak awal perlumbaan.

Dalam kategori maraton penuh wanita Malaysia, Sun Nee Ng merangkul tempat pertama dengan catatan masa, 3'38:12.8s diikuti Lin Mee Eng di tempat kedua (3'42:12.1s) manakala bekas jaguh jalan kaki negara Yuan Yu Fang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 03'45:43.7s.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, tempat kedua RM12,000 dan tempat ketiga RM8,000 selain pingat, trofi dan hadiah iringan.
Turut mencuri tumpuan pesara dari Butterworth, Ong Poh Son, 62, yang mendapat hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda City model terbaharu.

"Saya mai sini naik motor balik naik kereta," katanya berseloroh sambil berkata tidak pernah ketinggalan menyertai acara itu sejak 1988.

Julung kali diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, larian itu terbahagi kepada lima kategori termasuk separuh maraton lelaki dan wanita (21km); 10km lelaki dan wanita; 10km remaja lelaki dan perempuan dan 'Fun Run' (7km).

Kejohanan yang menarik lebih 60,000 peserta dari dalam dan luar negara itu dijangka layak dimasukkan ke dalam Guinness World Records selepas empat kali berturut-turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara maraton jambatan dengan penyertaan teramai.

-- BERNAMA