MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

Syed Saddiq puji Guan Eng, bandingkan dengan Najib

Pendekatan Guan Eng bagi menjawab tuduhan dan tohmahan lebih cepat dan bagus berbanding pentadbiran Najib menjawab RM2.6 bilion dan 1MDB.

Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq memuji cara Lim Guan Eng berhadapan dan menangani isu pembelian banglonya berharga RM2.8 juta yang didakwa oleh pemimpin UMNO dibeli di bawah harga pasaran.

Katanya, dalam tempoh empat hari, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat berjaya menepis tuduhan terhadapnya dengan mengambil sikap terbuka dan menjawab secara terus terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
 
Katanya, pendekatan yang diambil Guan Eng amat berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sehingga hari ini didakwanya gagal menjelaskan tohmahan dan tuduhan melibatkan derma RM2.6 bilion dan 1MDB.
 
“Mari kita bandingkan dengan pemerintahan Najib yang memberikan jawapan yang berputar belit oleh beliau dan sekutunya, secara berterusan mengganggu SPRM, PAC dan Bank Negara selain merehatkan Peguam Negara dan penyiasatan dilemahkan.
 
“Media pula ditutup, dihalang pendedahan, melakukan pendakwaan mengikut SOSMA (penganas),
 
“Tidak menjawab soalan di Parlimen, tidak menjawab soalan yang diutarakan media, menarik diri berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di saat-saat akhir.
 
“Najib juga sehingga kini masih gagal menyaman The Wall Street Journal dan The Edge,” katanya menerusi Facebook.
 
Syed Saddiq berkata, perbandingan itu membuktikan siapa yang sebenarnya menggunakan saluran yang betul untuk menjawab tohmahan.
 
“Nanti memang ada yang melabel saya Pro-LGE dan memekakkan telinganya kepada semua kritik yang saya buat terhadapnya sebelum ini.
 
“Biasalah. Semua benda nak ada ‘label’. Semua isu nak disuntik perkauman.
 
“Saya serahkan kepada SPRM tetapi setakat ini, respon Guan Eng (menjawab tohmahan) lebih baik berbanding pentadbiran Najib,” katanya.

- freemalaysiatoday