MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

DAP janji tiada tol, GST jika Pakatan tawan Putrajaya

Pembangkang akan menghapuskan GST dan kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan jambatan Pulau Pinang pertama jika ia berjaya mengambil alih Putrajaya, kata Lim Guan Eng semalam.

Setiausaha agung DAP itu berkata jika diberi peluang untuk mengawal kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan akan melaksanakan kedua-dua langkah itu bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.

Guan Eng berkata GST 6% menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi kepada rakyat, bukannya “menyelamatkan Malaysia” seperti didakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, rakyat juga tidak perlu terus menerus membayar tol kepada PLUS, yang dibina dengan kos RM5.9 bilion, memandangkan pemegang konsesi sudah pun mengutip tol bernilai RM37.4 bilion sepanjang tempoh 3 dekad lalu.

“Jika kita mahu turunkan harga, Barisan Nasional (BN) perlu turun ke bawah,” katanya.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,200 orang di majlis makan malam DAP bahagian Balik Pulau bagi meraikan ulang tahun ke-50 parti malam tadi, Guan Eng sekali lagi menyalahkan 1MDB sebagai punca masalah ekonomi negara dan jatuhnya nilai ringgit.

Mendesak supaya semua yang bertanggungjawab terhadap kontroversi itu ditahan dan disiasat, Guan Eng berkata rasuah ialah salah satu punca mengapa kerajaan kekurangan dana.

“Ekonomi sekarang mencabar dan lebih teruk kerana kerajaan persekutuan kekurangan wang.

“Dana untuk pendidikan dan hospital dipotong. Malah, kerajaan tidak beri pun RM50 juta yang dijanjikan kepada sekolah Cina dalam Bajet 2016.

“Anda tahu betapa kecilnya RM50 juta kepada kerajaan persekutuan? Ia hanya 0.02% daripada bajet itu.

Kerajaan Pulau Pinang pun boleh pinjamkan mereka jumlah itu,” katanya yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

 

- freemalaysiatoday