MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

Ramadan di kaki lima

Tidak semua orang bernasib baik dan mendapat kasih sayang keluarga serta tempat tinggal yang begitu selesa.  

Ia terbukti ketika menelusuri beberapa lokasi utama di Georgetown sepanjang Ramadan kali ini, masih ramai yang menjadikan kaki lima dan perhentian bas sebagai ‘rumah’, malah tidak kurang ada yang sanggup melampiaskan penat lelah seharian dengan hanya tidur di tangga sahaja.  

Pengayuh beca, Rahim Idrus, 62, dari Air Itam yang ditemui di Jalan Lebuh Penang tidak segan silu menceritakan keadaannya.

Menurutnya, sejak 20 tahun lalu dia sudah mula membawa beca dan menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.

“Puasa atau tak, sama saja, pakcik ada rumah tapi itu rumah kakak, pakcik lebih suka duduk di luar dan tidur dalam beca dari balik rumah.

“Memang malam-malam tak balik, kalau bosan tidur dalam beca, pakcik akan tidur luar beca,” katanya.

Rahim juga pernah menceritakan pernah beberapa kali becanya cuba diselongkar pencuri yang sering berada di kawasan Georgetown.

“Apa boleh buat, pakcik biarkan sajalah, hendak melawan memang dah tak larat sebab dah tua,” katanya.

Bagi Ali Anuar, 52, yang berasal dari Bukit Mertajam berkata, dia akan pulang pada jam 11 malam dan hanya duduk di Jalan Penang membaca surat khabar.

“Saya tak tidur sini, rumah saya ada ada di Bukit Mertajam, tapi duduk di luar lebih seronok, buat apa balik rumah awal-awal, puasa atau tak sama sahaja.

“Saya tak ada apa-apa, hidup saya hanya di sini, saya tak ada anak, tak ada keluarga, saya ada HIV,” katanya.

Ketika ditanya mengenai juadah sahur dan berbuka, Ali berkata, dia hanya menerima sumbangan daripada sukarelawan yang datang ke tempatnya setiap hari.

“Kalau mereka bagi roti, kita makan sajalah, apa yang ada itu kita makan.

“Puasa ke raya semua sama saja, kami tiada saudara,” katanya.

Kesemua gelandangan tersebut ditemui pada program ziarah Ramadan bersama sukarelawan universiti tempatan di sekitar Lebuh Penang, Lebuh Chulia dan juga Masjid Kapitan Keling.

 

Sumber:Sinar Harian