MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

Pulau Pinang ‘kilang’ syabu Malaysia

Pulau Pinang tidak lagi ha­nya dikenali kerana sejarah Francis Light ataupun ke­sibukan pelabuhannya, tetapi kini cukup gah dengan julukan selaku ‘kilang’ syabu Malaysia.

Syabu Malaysia yang dihasilkan oleh sindiket dadah tempat­an berpangkalan di Pulau Pinang tersebut, tidak hanya dijual kepada pasaran domestik, sebaliknya diimport ke Thailand dan Indonesia.

Kemasyhuran negeri yang di­pimpin DAP itu cukup terserlah sehinggakan ungkapan “kalau nak syabu, ambil di Pulau Pinang” bukan lagi sesuatu yang asing khususnya dalam kalangan anak muda.

Julukan itu terbukti tepat ke­rana dalam tempoh lima hari bermula Jumaat lalu sahaja, ganja seberat 182 kilogram dirampas di Jelutong, disusuli serbuan ke atas makmal dadah di Bayan Lepas.

Menjadikan kediaman mewah terutamanya kondominium sebagai makmal menghasilkan syabu, Utusan Malaysia dimaklumkan, terdapat beberapa tauke yang merupakan dalang utama adalah orang kenamaan.

Namun menurut sumber ke­selamatan, usaha untuk mensabitkan orang kenamaan itu sukar kerana mereka terlalu licik, selain turut menggunakan kuasa duit untuk menggelapkan mata pihak berkuasa.

“Pada awalnya, Pulau Pinang hanya menjadi transit kepada sindiket pengedaran dadah antarabangsa, tetapi kegagalan kita bertindak dengan cepat telah menyebabkan keadaan kini bertambah parah.

“Pulau Pinang kini muncul state production (negeri penge­luar) syabu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika bersama-sama turun padang bagi membongkar masalah berkenaan.

Mingguan Malaysia bermula 15 Mei lalu membuat pendedahan secara bersiri mengenai ancaman dadah di negara ini dengan memaparkan bahana pil kuda di Kelantan, Terengganu dan Pahang berada di tahap kronik.

Siri kedua pula mengete­ngahkan masalah penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan daun ketum di utara tanah air khususnya di Kedah dan Perlis sehingga membawa kepada peng­umuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memerangi dadah habis-habisan.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk memasuki beberapa buah kondominium di Pulau Pinang yang disyaki menjadi makmal dadah menghasilkan syabu gagal kerana kawalan ke­selamatan yang ketat.

Difahamkan, ada dalam ka­lang­an pengawal keselamatan yang menjaga kondominium ter­sebut tidak hanya digajikan oleh syarikat kawalan keselamatan tetapi turut mendapat tips untuk menjadi ‘mata dan telinga’ sindiket.

Sumber:Utusan Malaysia