MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

Doktor nasihat Bashah supaya tidak terlalu aktif

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah masih diminta untuk banyakkan berehat walaupun hari ini beliau mempengerusikan mesyuarat exco.

Media pada awalnya dimaklumkan sidang media akan dibuat sejurus tamat mesyuarat, namun ia terpaksa dibatalkan atas nasihat doktor.

Setiausaha Politiknya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, bagaimanapun menteri besar sudah berada dalam keadaan ceria dan stabil.

"Cuma doktor tidak benarkan beliau terlalu aktif pada masa ini, namun kami yakin beliau akan kembali dalam masa terdekat.

"Walaupun begitu kita tidak tahu bilakah tarikh yang tepat," katanya kepada media selepas tamat mesyuarat.

Mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Bashah itu disertai sembilan exco Kerajaan Negeri Kedah serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Ia berlangsung dari jam 11 pagi dan tamat pada jam 1 petang di Bilik Mesyuarat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Shaiful memberitahu ia adalah kali kedua mesyuarat exco Kedah dijalankan di HPP selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah.

Beliau turut memaklumkan tiada perkara penting dimaklumkan melalui mesyuarat tersebut melainkan hanya urusan pentadbiran biasa.

"Urusan pentadbiran tetap diteruskan dan menunjukkan konsep muafakat yang sebelum ini kami uar-uarkan adalah tepat.

"Walaupun MB di hospital, semuanya bersepakat serta bermuafakat dengan baik sekali," katanya.