MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pulau Pinang

CEO Zakat didakwa terima jam tangan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan seorang pegawai kanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas beberapa pertuduhan rasuah antara 2010 hingga 2015.

CEO ZPP, Datuk Azman Abdul Samat, 50, berhadapan tiga tuduhan rasuah iaitu menerima seutas jam tangan Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada pemilik syarikat MNI Venture yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau di rumahnya di Permatang Rambai, Permatang Pauh pada 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Azman dituduh menerima seutas jam tangan Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada pemilik syarikat Al Global Trading yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau di pejabat ZPP di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda, Bukit Mertajam antara 2011 hingga 2015.

Azman merangkap pengurus besar ZPP juga berhadapan tuduhan menerima seutas jam tangan Roscani Paris bernilai RM750 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau di kedai makan berhampiran ZPP pada 2015.

Bagi setiap pertuduhan itu Azman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

​​​Sementara itu di mahkamah sama dalam pertuduhan berasingan, Ketua Bahagian Pengurusan Pembangunan Kualiti Asnaf dan Ekonomi ZPP, Mohd Wardi Ramli, 35, didakwa membuat permohonan syor syarikat Al Global Trading untuk membekalkan 1,480 ekor anak ayam kampung dan dedak bernilai RM4,842, yang mana dia didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan pada 11 Nov 2016 di pejabat ZPP.

Bagi pertuduhan kedua Mohd Wardi dituduh membuat permohonan syor untuk syarikat sama bagi membekalkan dedak berjumlah RM6,000 pada 14 Nov 2016 di lokasi sama.

Mohd Wardi didakwa menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi setiap pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan Azman diikat jamin sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala Mohd Wardi dibenar ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Azman diwakili peguam Mohamed Reza Rahim, manakala Mohd Wardi diwakili Hadi Mulyana Citrawijaya Suyadi dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

Sitarun Nisa menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes Azman dan 14 Ogos bagi kes Mohd Wardi.

-Bernama